Tuesday, 20 May 2014

PAS Kedah rakam takziah atas kemangkatan Tunku Annuar

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS Kedah merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Negeri Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

"Ucapan takziah khusus kami zahirkan kepada ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah kehilangan adinda tercinta. Ahli-ahli PAS berkongsi kedukaan dengan kaum kerabat dan keluarga Almarhum," ujar Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mahfuz Omar dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

Badan Perhubungan PAS Negeri Kedah ingin merakamkan ucapan takziah di atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah yang juga merupakan Pengerusi Jemaah Pemangku Raja Negeri Kedah, Yang Teramat Mulia Tunku Annuar Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Ucapan takziah khusus kami zahirkan kepada ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah kehilangan adinda tercinta. Ahli-ahli PAS berkongsi kedukaan dengan kaum kerabat dan keluarga Almarhum.

Pemergian Almarhum Tunku Anuar adalah berita yang sangat mengejutkan seluruh rakyat jelata. Lebih-lebih lagi bagi kami, kepimpinan dan ahli-ahli PAS Kedah yang merasai sentuhan jasa bakti baginda sewaktu menaungi kerajaan negeri Kedah di bawah pimpinan Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dahulu. Baginda sangat mengambil berat setiap pelaksanaan program anjuran kerajaan negeri dan pro aktif dalam memberi cadangan membina.

Kami menyifatkan Almarhum Tunku Anuar adalah pemimpin yang sangat istimewa di mata dan hati rakyat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar kepada negeri Kedah.

Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum Tunku Anuar serta ditempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan mendapat kesejahteraan berkekalan.

Perhubungan PAS Kedah akan mengadakan satu majlis tahlil khas untuk Almarhum pada 23 Mei 2014, selepas solat Maghrib di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, Baling. - HARAKAHDAILY 21/5/2014

Pengerusi jemaah pemangku Sultan Kedah mangkat

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah mangkat di Hospital Pantai Ipoh, Perak pukul 12.20 tengah malam tadi.

  
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata jenazah Almarhum Tunku Annuar akan disembahyangkan di Istana Anak Bukit pukul 3 petang ini.
  
"Jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit mulai pukul 1 petang hingga 3 petang bagi maksud memberi penghormatan terakhir," katanya ketika mengumumkan berita itu melalui siaran Kedah.fm hari ini.
  
Beliau berkata, jenazah Almarhum akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar selepas solat Asar.
  
Katanya jenazah Almarhum akan dibawa melalui Jalan Sultanah, Jalan Titi Gajah, Jalan Hutan Kampung, Jalan Langgar dan terus ke makam.

Sehubungan itu, Mukhriz berkata, bendera negeri, Persekutuan dan lain-lain hendaklah dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini.
  
Beliau berkata tempoh perkabungan adalah selama tujuh hari mulai hari ini sehingga 27 Mei dan sepanjang tempoh berkenaan semua bentuk hiburan, keramaian serta perayaan adalah dibatalkan.
  
Sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Tunku Bendahara Kedah itu, hari ini diisytiharkan sebagai hari kelepasan am bagi seluruh negeri Kedah.
  
- Bernama